DEFINISI PERAKAUNAN
Perakaunan merupakan satu proses mengenal pasti, merekod, mengelas dan meringkas semua urusniaga secara sistematik dalam nilai wang dan melapor serta mentafsirkannya.
Mengenal pasti urusniaga bermaksud membuat pemerhatian ke atas peristiwa yang sesuai untuk direkodkan bagi sesuatu perniagaan tertentu.
Merekod pula merupakan suatu proses catatan urusniaga harian secara sistematik dalam buku catatan pertama iaitu jurnal.
Mengelas merupakan satu proses pengkelasan melalui penggunaan akaun berdasarkan prinsip perakaunan. Pengelasan tersebut dibuat kepada asset,liability,ekuiti,hasil dan belanja.
Meringkas bermaksud meringkaskan maklumat urusniaga yang telah dikelaskan kepada imbangan duga. Imbangan duga ialah senarai yang menunjukkan baki-baki akaun pada satu tarikh tertentu. Daripada imbangan duga ini, penyata kewangan akan disediakan.
Melapor adalah satu proses dimana firma membuat laporan kepada pihak yang memerlukan seperti pelabur dan pihak pengurusan. Satu penyata kewangan yang terdiri daripada penyata pendapatan, kunci kira-kira dan penyata aliran tunai akan disediakan untuk tujuan ini.Proses mentafsir pula melibatkan pengkajian, penganalisaan dan penterjemahan maklumat-maklumat perakaunan dalam penyata kewangan kepada satu bahasa dan bentuk yang mudah difahami oleh pengguna maklumat perakaunan.
Perakaunan berperanan untuk menyediakan maklumat tentang prestasi dan kedudukan kewangan syarikat. Maklumat tersebut berguna kepada pengguna-pengguna maklumat perakaunan dalam membuat keputusan ekonomi. Perakaunan juga merupakan bahasa perniagaan kerana ia adalah satu alat untuk penyampaian maklumat sesebuah perniagaan.
FUNGSI PERAKAUNAN
Perakaunan mempunyai beberapa fungsi antaranya adalah :
a. Penyampaian maklumat yang berkesan.
Ia disampaikan dalam bentuk dan format yang boleh difahami oleh pengguna-penggunanya.
b. Membekalkan maklumat untuk membuat keputusan.
Maklumat-maklumat yang dibekalkan akan membantu dalam proses membuat keputusan oleh pengguna-pengguna maklumat mengikut keperluan masing-Masing.
c. Membentuk akauntabiliti.
Ia merupakan satu tanggungjawab kepada pihak tertentu untuk membuat laporan kepada pihak yang memerlukan.antaranya ialah:
i. Pihak pengurusan bertanggungjawab kepada lembaga pengarah syarikat dan pihak luar.
ii. Pekerja bertanggungjawab kepada pihak pengurusan.
iii. Organisasi bertanggungjawab kepada kerajaan dan masyarakat.
d. Sebagai alat kawalan.
Maklumat perakaunan dapat digunakan oleh pihak pengurusan,merancang, dan Mengawal aktiviti organisasi.
PENGGUNA MAKLUMAT PERAKAUNAN
Pengguna maklumat perakaunan terbahagi kepada dua iaitu pengguna dalaman dan pengguna luaran. Kedua-dua jenis ini mempunyai kepentingan yang berbeza ke atas maklumat dalam penyata kewangan.
Pengguna dalaman terdiri daripada mereka yang berkerja dalam organisasi berkenaan. Contohnya,pihak pengurusan.
Pengguna luaran terdiri daripada individu atau sekumpulan orang di luar syarikat yang mempunyai kepentingan atau tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat. Contohnya pelabur, bank, pemiutang dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Amnya, pengguna luaran memerlukan maklumat perakaunan bagi membolehkan mereka membuat perbandingan prestasi kewangan sesebuah perniagaan.
JENIS-JENIS MILIKAN PERNIAGAAN
Dalam dunia perniagaan terdapat tiga jenis pemilikan perniagaan iaitu perniagaan milikan tunggal, perkongsian, dan syarikat.
Perniagaan Milikan Tunggal.
Milikan tunggal adalah sebuah perniagaan yang dimiliki oleh seseorang individu yang tertentu. Ianya diuruskan oleh pemilik perniagaan itu sendiri. Perniagaan ini bersaiz kecil dan senang untuk diuruskan. Sebagai pemilik, ia menerima semua hasil perniagaan dan menanggung semua risiko yang dialami oleh perniagaannya.
Perniagaan jenis ini mempunyai kebaikan yang tertentu seperti :
a. Senang untuk ditubuhkan kerana tidak memerlukan prosedur yang banyak.
b. Modal untuk memulakan perniagaan adalah kecil.
c. Pemilik adalah bebas untuk membuat keputusan.
Namun begitu,perniagaan jenis ini juga mempunyai beberapa kelemahan seperti :
1. Potensi untuk berkembang adalah terhad kerana modal yang terhad.
2. Bergantung kepada kemahiran pengurusan seorang sahaja.sekiranya kemahiran terhad ,perniagaan boleh mengalami kegagalan.
3. Liabiliti tidak terhad.pemilik secara peribadi menanggung semua hutang perniagaan.
Perkongsian
Perniagaan ini dimiliki oleh sekurang-kurangnya 2 orang dan maksimum 50 orang yang akan berkongsi keuntungan mengikut kadar tertentu yang dipersetujui bersama. Pendapatan, risiko, dan tanggungjawab dikongsi oleh semua perniagaan.Setiap pekongsi mesti mencapai persetujuan mengenai beberapa perkara seperti jumlah wang yang ingin dilaburkan, kerja yang patut diagihkan, pembahagian untung atau rugi dan lain-lain lagi.
Kelebihan perniagaan ini adalah :
1. Senang untuk ditubuhkan kerana tidak memerlukan prosedur yang banyak dan remeh.
2. Perniagaan ini mempunyai potensi untuk berkembang kerana mudah untuk mengumpulkan modal tambahan apabila perlu.
Antara kelemahan perniagaan perkongsian ini ialah :
1. Liabiliti tidak terhad. Pekongsi secara peribadi menanggung semua hutang perkongsian.
2. Konflik mungkin timbul antara pekongsi dalam menguruskan perkongsian.
3. Jangka hayat perkongsian adalah terhad. Pekongsi boleh dibubarkan akibat kematian pekongsi atau penarikan diri.
Syarikat
Satu bentuk perniagaan yang dimiliki oleh ramai pemilik melalui pegangan saham dalam syarikat tersebut. Bilangan pemilik sekurang-kurangnya dua orang. Pemilik boleh memindahkan pemilikan melalui penjualan saham yang dipegangnya. Pemilik mempunyai liabiliti yang terhad kepada modal yang dilaburkan sahaja. Pemilik membahagikan untung, risiko, dan tanggungjawab bergantung kepada jumlah saham yang dimiliki. Pemilik tidak terlibat dalam aktiviti harian perniagaan syarikat.kepentingan pemilik dijaga oleh Lembaga Pengarah Syarikat.
Kelebihan syarikat adalah seperti berikut :
1. Syarikat, dengan kuasa undang-undang boleh bertindak sebagai orang perseorangan untuk membeli, memiliki, dan menjual harta atas nama sendiri.
2. Potensi untuk berkembang adalah tinggi kerana saham boleh diterbitkan untuk mendapatkan dana tambahan.
3. Pemegang saham mempunyai liabiliti terhad.
Kelemahan syarikat ialah pekongsi atau ahli perlu mematuhi undang-undang yang ketat berbanding dengan perkongsian dan perniagaan tunggal.
INVIOS
Invois adalah dokumen mengenai belian atau jualan barang atau perkhidmatan yang dilakukan secara kredit. Maklumat yang terkandung dalam invois termasuk kuantiti, harga, ciri-ciri barang dan perkhidmatan, cara penghantaran barang atau perlaksanaan perkhidmatan dan syarat kredit. Ianya digunakan sebagai asas catatan urusniaga belian atau jualan dalam rekod perakaunan. Invois terdiri daripada :
1. Invois belian
Penyata barang atau perkhidmatan yang diterima oleh pembeli daripada penjual sebagai dokumen tentang jumlah bayaran yang perlu di buat terhadap barang atau perkhidmatan yang dibeli. Invois belian digunakan sebagai asas catatan belian dalam rekod perakaunan belian.
2. Invois jualan.
Penyata barang atau perkhidmatan yang di sediakan oleh penjual untuk di beri kepada pembeli sebagai dokumen tentang jumlah bayaran yang dikenakan terhadap barang atau perkhidmatan yang di jual. Invois jualan di gunakan sebagai asas catatan jualan dalam rekod perakaunan penjual.
NOTA SERAHAN
Nota serahan merupakan dokumen daripada pembekal yang diberikan kepada pembeli sebagai bukti penyerahan barang atau perlaksanaan perkhidmatan oleh pembekal. Dokumen ini mengandungi mengandungi keterangan tentang barang yang dihantar dan kuantitinya atau perkhidmatan yang di laksanakan. Dokumen ini di tandatangani oleh pembeli barang atau perkhidmatan sebagai pengakuan penerimaan dan salinan disimpan untuk rujukan.
NOTA DEBIT
Nota debit adalah dokumen yang memaklumkan catatan debit yang telah dibuat pada sesuatu akaun. Dokumen ini menyatakan jumlah yang di debit dan sebab catatan debit dibuat. Misalnya, nota debit daripada bank kepada pelanggan yang memaklumkan simpanan pelanggan dikurangkan kerana pembayaran tertentu seperti pembayaran balik hutang dan bayaran perkhidmatan bank. Ia juga di kenali sebagai memorandum debit.
NOTA KREDIT
Nota kredit adalah dokumen yang memaklumkan catatan kredit yang telah di buat pada sesuatu akaun. Dokumen ini menyatakan tentang jumlah yang di kreditkan dan sebab catata kredit di buat. Misalnya, nota kredit daripada pembekal kepada pembeli yang memaklumkan hutangnya berkurangan disebabkan oleh pemulangan barang atau pemberian diskaun. Ia juga dikenali sebagai memorandum kredit
PESANAN BELIAN
Dokumen yang disediakan oleh pembeli untuk membuat pesanan belian. Ia memberi kuasa kepada penjual untuk menghantar barang atau menyediakan perkhidmatan pada kuantiti dan harga tertentu. Dokumen ini merupakan kontrak antara pembeli dengan penjual.
BAUCER PEMBAYARAN
Dokumen ini membuktikan pembayaran telah dibuat sama ada dengan tunai atau cek. Ia merupakan pengesahan bertulis untuk merekodkan urusniaga atau membuat pembayaran urusniaga. Borang ini mengandungi maklumat terperinci tentang bayaran tersebut seperti penerimaan bayaran, kuantiti dan harga barangan yang di beli, serta maklumat lain yang berkaitan . Ia dilampirkan bersama dokumen sokongan bayaran tersebut.
PENYATA BANK
Dokumen ini dikeluarkan oleh pihak bank kepada penyimpan-penyimpan akaun semasa setiap bulan. Ia mengandungi maklumat berkenaan semua penerimaan dan pengeluaran tunai ke dalam akaun serta bakinya.
RESIT
Resit adalah dokumen pengesahan bertulis tentang penerimaan wang tunai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

Kenapa tak ada catat ada apa badan-badan yang bertanggungjawab dalam perakaunan di Malaysia?
saya ingin tahu apa definisi simpan kira...kenapa tak ada?